Pages

Friday, July 26, 2013

Hebatnya Bismillah

Alhamdulillah tazkirah di Hospital Pakar Al-Islam untuk hari ini disampaikan oleh Al-Fadhil Ust Muhaidir Hj Joll. Beliau merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa kampus Petaling Jaya. Beliau aktif terutamanya didalam penulisan kitab – kitab dan turut menjadi penceramah dimajlis ilmu diseluruh Negara.

Beliau banyak berkongsi perihal berkenaan kalimah ‘Bismillah’. Ungkapan yang sedikit dan kecil pada pandangan umum namun didalamnya terselit pelbagai kelebihan dan manfaat bagi yang beramal dengannya. Setiap pekerjaan yang dilakukan jika dimulakan dengan bismillah akan mendatangkan hasil yang sangat berbeza dengan Izin Allah.

Kitab-kitab samawi (zabur,taurat,injil) yang diturunkan Allah kepada nabi-nabi yang terdahulu mempunyai kepelbagaian kisah dan khusus diturunkan kepada umat nabi tersebut. Namun Al-quran yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW meliputi keseluruhan kandungan kitab-kitab yang lain. Dalam kata lain. Segala isi dan tuntutan dari kitab yang awal terkandung didalam Al-Quran. Kerna itulah salah satu mukjizat Al-Quran ini adalah ianya melangkaui masa dan tempat, tiada tempat didunia ini yang tidak sesuai bagi Al-quran. Begitulah antara kehebatan Al-quran.


Namun tidak dinamakan Al-quran jika tidak mempunyai 114 surah. Dan kesemua kandungan Al-quran diceritakan Allah melalui Ummul Kitab (Al-Fatihah) dan kandungan Surah Al-Fatihah diceritakan Allah melalui kalimah Bismillah, dan kandungan Bismillah itu tersembunyi didalam huruf awalnya (ب).
Kerna itulah ada kitab yang dikeluarkan oleh para Ulama yang khusus menafsirkan perkataan bismillah sahaja. Kalimah Bismillah yang terdiri daripada 4 perkataan (بسم الله الرحمن الرحيم ( menjadi pendiding yang sangat kuat daripada Iblis dan Syaitan. Syaitan yang mengganggu dari 4 arah (kiri,kanan,depan belakang) namun tidak dari atas dan bawah. Diantara sebabnya adalah untuk iblis melepasi dari atas manusia, mereka perlu melalui ‘lapisan akal’ yang tersimpan didalamnya hafalan-hafalan yang akan menghalang iblis dari melepasinya.


Ada suatu kisah yang menceritakan tentang seorang ahli ibadah yang berbicara dengan syaitan yang merasuk seorang wanita, setelah dipaksa keluar, syaitan berkenaan memberikan syarat jika dia keluar dari tubuh wanita berkenaan, dia(syaitan) mahu masuk ke tubuh ahli ibadah tersebut. Namun setelah keluar, ternyata syaitan tersebut tidak berkemampuan kerana ibadah-ibadah dan hafalan-hafalan yang diamalkan ahli ibadah tersebut.


Al-Fadhil turut mengijazahkan beberapa amalan kepada staff Hospital Pakar Al-Islam untuk diamalkan. Pertama sekali ingin saya kongsikan sedikit mengenai konsep ijazah amalan yang mungkin jarang didengar oleh pembaca sekalian. Konsep ijazah merupakan kaedah dimana seorang guru atau masyaikh mengajar anak muridnya suatu amalan atau hadis berdasarkan rantaian atau sanad yang beliau terima dari gurunya. Contohnya. Saya mendapat ijazah amalan ini dari guru saya, dan guru saya mendapat amalan itu dari gurunya, dan begitulah seterusnya sehingga kepada empunya amalan. Kebiasaannya empunya amalan adalah dari kalangan ahli salafussoleh dan nabi Muhammad SAW sendiri.


Semoga sedikit perkongsian ini memberikan manfaat buat yang membaca dan saya secara peribadi amat memohon maaf diatas kekurangan perkongsian ini. Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua didalam memahami Agama-Nya insyaAllah.        


No comments: